
Tabika dan Tadika Kemas akan selaras silibus untuk kanak-kanak 3 dan 4 tahun sebagai persediaan ke prasekolah wajib di bawah RPN 2026-2035
BAGAN DATUK: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan terus mendidik kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun.
Ini selaras dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata silibus tabika dan tadika Kemas, termasuk tadika perpaduan, akan diselaras dan diubah suai.
Tujuannya adalah bagi memastikan kesinambungan ke kelas prasekolah untuk kanak-kanak lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan.
“Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu memutuskan prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau menegaskan di bawah keputusan itu, kanak-kanak berumur lima tahun diwajibkan mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah lain di bawah kementerian.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Kemas akan meneruskan kelas sedia ada.
Kurikulumnya akan disesuaikan mengikut acuan semasa selaras langkah penyelarasan pendidikan prasekolah.
Beliau berkata pendidikan awal di bawah Kemas akan terus dipersiapkan secara teliti.
Institusi ini berperanan sebagai feeder classes atau kelas persediaan untuk kelas prasekolah lima tahun di bawah Kementerian Pendidikan.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak berusia enam tahun boleh didaftarkan ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027.
Pengumuman itu dibuat melalui pelancaran RPN 2026-2035.
The Sun Malaysia
