
CDC mengesahkan dua kematian pertama berkaitan wabak cyclosporiasis di Michigan, membabitkan individu bermasalah kesihatan sedia ada. Siasatan punca wabak masih diteruskan.
LOS ANGELES: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pada Isnin mengesahkan dua kematian pertama yang dikaitkan dengan wabak “cyclosporiasis” di negara itu, lapor Xinhua.
“CDC dimaklumkan mengenai dua kematian berkaitan cyclosporiasis membabitkan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada di Michigan,” menurut agensi itu dalam satu notis.
CDC memaklumkan bahawa laman sesawangnya akan dikemas kini dengan data kes yang disahkan melalui ujian makmal, kemasukan ke hospital dan kematian.
Menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Michigan, rekod perubatan menunjukkan kedua-dua individu berkenaan mempunyai masalah kesihatan sedia ada yang serius, yang mungkin terjejas akibat “cyclosporiasis” dan dehidrasi.
Pegawai kesihatan negeri memaklumkan bahawa tiada maklumat lanjut mengenai kedua-dua kes itu akan didedahkan.
Bagaimanapun, mereka menegaskan bahawa “cyclosporiasis” secara umumnya tidak mengancam nyawa dan kematian yang dikaitkan dengan penyakit itu jarang berlaku di Amerika Syarikat.
Jabatan itu memaklumkan bahawa siasatan terhadap wabak berkenaan di negeri terbabit masih diteruskan.
“Ketika siasatan masih dijalankan, maklumat yang ada menunjukkan bahawa daun salad atau sayur-sayuran salad mungkin menjadi antara punca wabak ini.
“Bagaimanapun, kemungkinan makanan lain sebagai punca tidak dapat diketepikan sepenuhnya.
“Tiada jenis hasil pertanian, pengeluar atau pembekal tertentu dikenal pasti sebagai punca,” menurut jabatan itu.
The Sun Malaysia
